Pengumuman keluar parti oleh Tun Mahathir dan isteri

Adalah dimaklumkan kepada sekelian rakyat jelata bahawa Hang Jebat sudah mengamuk kerana Hang Tuah sudah dihukum bunuh oleh Sultan Melaka… Maaf, silap siaran.

Sebenarnya pengumuman keluar partioleh Tun Mahathir dan isteri, ialah tajuk utama saya selepas membaca artikel tersebut di blog peribadi Tun Mahathir ( Che Det )..

Pelik tetapi benar. Itulah reaksi saya kerana terkejut menerima berita tersebut tengah hari tadi.

Namun, saya boleh beri tabik hormat kerana Tun berani keluar parti kerana sudah sedar bahawa tidak patut berada dalam UMNO jika ingin mengkritik dengan lantang partinya sendiri. Kemusnahan UMNO juga dikaitkan dengan kritikan pedas Tun kepada Pak Lah sebelum PRU 12 lepas, selepas Pak Lah dilihat tidak menjaga kepentingan projek projek kebanggan Tun sehingga tidak sedikit yang telah kecewa ekoran disingkir  oleh Pak Lah.

Mungkin idea dari kenyataan Ibrahim Ali yang juga pernah digosipkan menjadi mertua Tun ( tidak sahih hingga kini ) yang berkata, tidak akan masuk PAS atau PKR kerana ingin bebas menyuarakan pendapat. Mungkin itulah inspirasi Tun keluar parti membawa bersama isteri, ( agar tidak keseorangan ) dan boleh jadi ia hanya kebetulan yang tidak disangkakan.

Cuma antara mereka berdua, wujud satu persamaan. Iaitu lantang bersuara walaupun akan menerima kritikan pedas dan tindakan drastik dari kata kata pedih mereka berdua. Jarang ditemui jantan melayu terakhir seperti Tun dan Ibrahim Ali yang juga antara pejuang awal isu isu melibatkan kemiskinan, kemunduran orang Melayu di Malaysia satu ketika dulu.

Alasan Tun keluar UMNO nampaknya banyak berkisar tentang larangan menemui Tun yang didakwa dilakukan oleh Pak Lah… Ia telah menjadi satu propaganda dan akhirnya Tun sendiri terjerat dengan dakwaan tersebut hingga merasa ‘harakiri’ adalah tindakan terbaik Tun bersama isteri bagi memperlihatkan kesungguhan Tun mendesak Pak Lah agar turun dari terus berada di atas kepimpinan negara kita.

Jika tidak berjaya juga taktik terakhir ini, mungkin Pak Lah akan terus mendapat sokongan hingga sedikit demi sedikit era zaman Mahathirisme kan tenggelam tanpa ada sedikitpun batang hidungnya di depan kita.

Ikutilah salinan artikel berkaitan pengumuman keluar parti oleh Tun Dr Mahathir dan Isteri…

Pengumuman Keluar Dari UMNO

Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s