Anwar ditemani Amerika di saat ‘dilewati’ oleh laporan polis Saiful !!

Baca Mstar :

Anwar tak jadi umum kerusi ditandingi, nama 4 MP BN sertai Pakatan
02-07-2008 12:00:16 AM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

PENYOKONG-penyokong Anwar Ibrahim mengikuti ucapan beliau di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi. – fotoThe Star K.K. Sham

SHAH ALAM: Pengumuman mengenai kerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal tandingi dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwa akan melompat parti, yang dinanti-nantikan banyak pihak tidak menjadi kenyataan malam ini!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut ramai akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya dalam pilihan raya kecil tidak berbuat demikian.

Malah, Anwar yang kini berhadapan dengan isu terbaru dakwaan meliwat seorang pembantu khasnya juga menangguhkan hasrat beliau untuk mengumumkan nama empat Ahli Parlimen BN yang mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata Anwar, mengambil kira suasana politik semasa beliau akan mengumumkan nama mereka dalam beberapa minggu lagi atas alasan mahu menyelesaikan kes terbaru dihadapinya sekarang.

Beliau memberi jaminan keempat-empat wakil rakyat berkenaan akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya dalam satu rapat umum yang diadakan di Stadium Malawati di sini.

Anwar tiba di stadium itu pada pukul 10 malam dan mula berucap kira-kira sejam bermula 10.15 malam.

Semalam Anwar mengatakan bahawa dua daripada mereka merupakan wakil rakyat Umno.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, beliau akan turut menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung kes yang menimpanya.

Anwar juga menyentuh isu kesan kenaikan harga minyak, kerajaan tidak telus dan isu yang dihadapinya pada 1998.

Turut hadir dalam rapat umum itu adalah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali; Setiausaha Agung yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, R. Sivarasa dan Azmin Ali, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat tidak hadir.

Petang tadi, Azmin ketika ditemui wartawan di bangunan Parlimen berkata, Anwar akan mengumumkan rancangannya untuk bertanding pilihan raya kecil dan nama wakil rakyat BN terbabit.

Terdahulu, Anwar mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bagi menafikan tuduhan liwat terhadap dirinya oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.

Beliau percaya, ia merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Anwar membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana dikatakan memalsukan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lalu.

Berita lain :

AS dituduh campur tangan, Malaysia hantar nota bantahan
01-07-2008 09:09:27 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Washington berikutan tindakan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang membuat kenyataan bahawa negara itu menentang sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbau politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim berbuat demikian berikutan kenyataan Washington yang dilihat sebagai campur tangan dalam urusan dalam negara Malaysia.

“Itu satu kenyataan yang saya anggap cuba campur tangan dalam hal negara kita. Kita ada kerajaan, kita ada undang-undang, kita ada siasatan.

“Kita tahu apa yang hendak dilakukan. Kita akan pastikan siasatan (kes tuduhan liwat terhadap Anwar) akan dijalankan dengan baik dan adil dan tidak menzalimi sesiapa, itu matlamat kita, itu amalan kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan singkat dengan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Jabatan Negara AS dalam kenyataannya hari ini juga menyebut negara itu turut membantah sebarang tindakan oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Anwar atas tuduhan meliwat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak turut membidas Amerika Syarikat atas kenyataan itu.

Katanya, kes yang kini dalam siasatan polis itu tidak langsung mempunyai kaitan politik.

“Ia tidak pernah ada kena mengena dengan politik. Washington sepatutnya mendapatkan maklumat yang tepat sebelum buat kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin MIC bagi membincangkan masalah yang dihadapi kaum India di negara ini.

Katanya, penyiasatan polis terhadap Anwar tidak bermotifkan politik.

“Ia tidak bermotifkan politik. (Ia) Tidak pernah terlintas langsung di fikiran kami, jadi Washington perlu mendapatkan fakta yang betul,” katanya. BERNAMA

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s