Pertandingan jawatan no 2 selepas 20 tahun tidak dicabar sesiapa

Perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan hampir pasti menyaksikan pertarungan tiga penjuru.

Ia berikutan kejayaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hari ini yang menjadi calon kedua melepasi kuota kelayakan apabila memperoleh sembilan lagi pencalonan menjadikan jumlah keseluruhan 41 pencalonan.

Seorang lagi calon, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang setakat ini sudah mengumpul 37 pencalonan memerlukan hanya dua lagi pencalonan. Kuota kelayakan bagi jawatan Timbalan Presiden ialah 39 pencalonan.

Pada 19 Oktober lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi calon pertama layak bertanding.

Bahagian-bahagian yang memberikan pencalonan kepada Mohd. Ali hari ini ialah Ketereh, Tumpat, Pendang, Pasir Salak, Sandakan, Sungai Petani, Sepanggar, Pasir Puteh dan Kubang Kerian. Muhyiddin pula menambah lima lagi pencalonan bagi membolehkan beliau mengumpulkan 84 pencalonan.

Bahagian-bahagian yang mencalonkan beliau ialah Kuala Nerus, Wangsa Maju, Kangar, Jerai dan Bukit Bintang.

Bagi Muhammad pula, beliau perlu menanti sehingga esok iaitu hari terakhir mesyuarat bagi menentukan sama ada akan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding atau tidak.

Muhammad yang sebelum ini mengumpul sebanyak 30 pencalonan hari ini menambah tujuh lagi pencalonan dari bahagian Kuala Krai, Hulu Langat, Baling, Sik, Sungai Besar, Pensiangan dan Petaling Jaya Selatan.

Berdasarkan kepada jumlah bahagian yang akan bermesyuarat esok, Muhammad dijangka tidak menghadapi masalah untuk mencukupkan kuota.

Esok, di Selangor sahaja terdapat empat lagi bahagian yang akan bermesyuarat iaitu Kelana Jaya, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Ampang.

Berikutan kejayaan Mohd. Ali hari ini, ia bererti buat kali pertama dalam tempoh hampir 20 tahun, bakal menyaksikan perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Malah ia bakal mencatatkan sejarah jika Muhammad layak kerana ini kali pertama perebutan itu menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Kali terakhir jawatan berkenaan dipertandingkan ialah pada 1987 apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mencabar penyandang jawatan, Tun Musa Hitam. Allahyarham Ghafar menang dengan kelebihan 40 undi. Pada 1993, pertandingan hampir menjadi kenyataan antara Ghafar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Anwar menang tanpa bertanding selepas Ghafar menarik diri.

Sementara itu, mengulas kejayaannya memperoleh kuota untuk bertanding, Mohd. Ali berkata, langkah itu memberi peluang kepada ahli-ahli memilih pemimpin terbaik.

‘‘Saya berharap bahagian-bahagian yang akan bermesyuarat esok akan terus mencalonkan saya,’’ katanya ketika dihubungi, di Melaka.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad berkata, beliau yakin akan memperoleh pencalonan esok bagi melayakkannya bertanding.

‘‘Saya percaya bahagian-bahagian akan memberi peluang kepada semua calon untuk bertanding dan insya-Allah kita akan menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden,’’ katanya.

Muhyiddin pula mengucapkan tahniah kepada Mohd. Ali yang berjaya melepasi kuota tersebut dan Muhammad yang menghampiri kelayakan itu.

Menurutnya, perkembangan itu bakal memberi peluang kepada ahli-ahli UMNO untuk memilih pemimpin yang terbaik bagi membantu kepimpinan mengukuhkan parti terutama dalam menghadapi cabaran masa depan.

‘‘Saya percaya proses penawaran diri ini akan dilangsungkan dalam

suasana persaudaraan dan muhibah serta saling menghormati di antara satu sama lain,” ujarnya di sini malam ini.

Berita oleh Utusan Malaysia

– Sesiapa pun yang menang seharusnya tidak menghina calon yang kalah.

– Calon yang bertanding sewajarnya mengelakkan dari imej politik wang atau merelakannya untuk ‘habuan’ atas permintaan perwakilan.

– Kemenangan sebagai Timbalan Presiden sekaligus menjadi calon untuk Timbalan Perdana Menteri negara kita, tentu mengkehendaki mereka memilih yang terbaik dari calon yang dijangka menjadi tiga termasuk Muhammad Taib.

– Kuasa menentukan Timbalan Presiden oleh ahli UMNO menunjukkan tugas mereka sangat penting di dalam menentukan calon terbaik untuk berganding bahu dengan Presiden Parti yang setakat ini sudah sahih dimenangi tanpa cabaran oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selamat Mengundi !

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s