Tipu daya Ketua Hindraf didedah oleh Menteri KDN Syed Hamid Albar – Malaysiakini

Muslihat Uthayakumar

KUALA LUMPUR 5 Mac – Di sebalik perhimpunan haram kerana mendakwa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), P. Uthayakumar tidak diberi rawatan di penjara, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini menceritakan apa sebenarnya berlaku kepada tahanan itu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata: ‘‘Uthayakumar dari semasa ke semasa enggan menerima rawatan yang dijadualkan serta ubat-ubatan yang dibekalkan.

‘‘Berdasarkan rekod Tempat Tahanan Perlindungan (TTP) Kamunting, Taiping, Uthayakumar telah 18 kali menolak untuk rawatan dan ubat- ubatan termasuklah di Institut Jantung Negara (IJN).”.

Syed Hamid dalam kenyataan akhbar di sini berkata, antara rawatan yang ditolak oleh Uthayakumar ialah pemeriksaan doktor pakar Hospital Taiping pada 28 April 2008, kardiologi di Hospital Pulau Pinang (6 Mei 2008) dan temu janji dengan IJN (22 Mei 2008).

Beliau menambah, tahanan juga enggan diperiksa oleh doktor panel penjara untuk ujian kandungan gula dan bulanan (31 Oktober 2008), tidak mahu jalani ujian darah di klinik tempat tahanan (22 Januari 2009) dan enggan menerima rawatan di Hospital Taiping (13 Februari 2009).

Sungguhpun begitu, Syed Hamid memberitahu, sejak Uthayakumar dikenakan perintah tahanan pada 13 Disember 2007, beliau telah diberikan rawatan dan menerima pemeriksaan kesihatan daripada doktor panel kerajaan dan Hospital Taiping sebanyak 42 kali.

Di samping itu, beliau juga telah dibekalkan dengan ubat-ubatan secara berkala dari hospital sama.

Syed Hamid menegaskan, Jabatan Penjara bertindak secara profesional dan melaksanakan segala usaha untuk memastikan tahap kesihatan tahanan terbabit terkawal.

Jabatan tersebut juga sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan dalam pengurusan penahanan Uthayakumar, katanya.

Beliau menjelaskan, hak semua tahanan untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan bekalan ubat tidak pernah dinafikan.

Katanya, rawatan perubatan juga dijalankan oleh doktor kerajaan bertauliah.

“Isu kesihatan Uthayakumar telah banyak diperkatakan. Malah perkara ini diberikan liputan meluas oleh media khususnya pada 15 dan 16 Februari lalu.

“Antara tuduhan yang dilemparkan ialah kerajaan tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap kesihatan Uthayakumar dan dinafikan rawatan kesihatan,” katanya.

Syed Hamid menambah, bagi memastikan tahap kesihatannya terkawal, TTP telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyediakan dan membekalkan diet bersesuaian seperti disyorkan pegawai perubatan.

Katanya, diet tersebut diberikan bermula 21 Disember 2007 yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, roti jagung dan masakan tanpa gula dan garam.

“Berhubung dakwaan kakinya bengkak kerana tidak diberi rawatan sempurna, pemeriksaan oleh doktor panel Jabatan Penjara menunjukkan hanya jari kelengkeng pada kaki kirinya bengkak tetapi tidak serius.

“Pemeriksaan Hospital Kuala Lumpur pula mendapati jari tersebut sakit kerana tersepak batu dan tidak memerlukan untuk Uthayakumar ditahan di wad,” ujarnya.

Pada 28 Februari lalu, keluarga dan penyokong Uthayakumar mengadakan perhimpunan haram di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kerana mendakwa tahanan itu tidak diberi rawatan di dalam penjara.

Uthayakumar merupakan salah seorang pemimpin tertinggi pertubuhan haram yang ditahan di bawah ISA atas sebab-sebab keselamatan sejak 13 Disember 2007.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s