Bekas Ketua Polis pernah nasihat Anwar berhenti dari kegiatan homoseksual !!

KUALA LUMPUR, Rabu – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Haniff Omar tidak meragui bahawa dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh terbabit dalam kegiatan homoseksual, ada kebenarannya.

Malah, beliau pernah memberitahu Anwar supaya berhenti daripada perbuatannya.

Ketika menjadi KPN, Haniff menjelaskan beliau pernah menerima laporan daripada pegawainya mengenai salah laku seks bekas Menteri Kewangan itu.

“Selepas menerima laporan pegawainya, beliau mengarahkan beberapa siasatan lanjut dilakukan sehingga beliau yakin mengenainya.

“Daripada pengalaman lalu, saya tidak meragui mengatakan bahawa tuduhan ke atas Anwar ada kebenarannya.

“Bagi fikiran saya, kes lama yang pernah saya kendalikan ditimbulkan semula dan kini menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya petang ini.

Sambil mengesahkan beliau pernah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu pada 9 Oktober 1993, Haniff berkata pegawainya melaporkan mereka mempunyai bukti menunjukkan kemungkinan besar Anwar terbabit dalam homoseksual.

Berdasarkan laporan pegawai itu, beliau diberitahu Anwar mempunyai hubungan dengan dua individu – seorang pondan dan seorang lagi warga asing, yang beliau percaya sebagai ‘tali barut’ Anwar.

Menurutnya, memang agak sukar bagi ramai orang mempercayai dakwaan itu tetapi bagi beliau, suatu hari ini nanti perkara yang menyalahi undang-undang itu akan menjadi kenyataan.

“Kes ini membuatkan setiap warga Malaysia berasa sedih kerana ia merosakkan imej negara. Melihat kepada perwatakan Datuk Seri Anwar yang kelihatan segak dan kemas, mempunyai kredibiliti, rangkaian kerja yang terbaik, agak sukar orang ramai percaya tuduhan ke atas beliau,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mendedahkan, beliau pernah dimaklumkan mengenai kegiatan homoseksual Anwar beberapa tahun lalu oleh Haniff yang ketika itu masih Ketua Polis Negara.

Menurut Perdana Menteri, Haniff memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu sebelum bersara. Bagaimanapun beliau menolaknya kerana menganggap ia dakwaan palsu.

Haniff menjelaskan, setelah yakin dengan maklumat yang diterima daripada pegawainya, beliau maklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri supaya beliau berjaga-jaga kerana menterinya (Anwar) kemungkinan berada dalam keadaan yang mudah untuk diperas ugut.

“Sebab itu saya laporkan,; katanya.

“Bagaimanapun ketika itu Perdana Menteri tidak percaya. Perdana Menteri tak cakap banyak, jadi saya tahu sangat, apabila Perdana Menteri tak cakap banyak, saya tahulah dia tak percaya.

“Oleh kerana dia tak percaya, jadi saya tak mahu tekankan lagi. Bagaimanapun, saya minta pegawai polis terus memerhatikan perkara itu. Jika kegiatan itu berkembang lagi, mungkin ia boleh ditaklimatkan lagi kepada Perdana Menteri untuk yakinkan dia.

“Ketika itu, saya menyediakan diri untuk bersara. Memandangkan saya mahu bersara, saya minta pegawai saya memaklumkannya kepada pegawai kanan polis supaya perkara itu terus diawasi,” katanya.

Menurut Haniff, dua tiga hari selepas memberitahu Perdana Menteri, beberapa orang Anwar ke pejabatnya untuk memberitahu bahawa Anwar mahu berjumpa dengannya.

“Saya tanya sebab apa? Mereka memberitahu saya sebab yang sensitif inilah. Saya menjangka ketika itu beliau (Anwar) dimaklumkan oleh Perdana Menteri. Saya kata bolehlah.

“Saya bertanya di manakah pertemuan itu dan diberitahu di rumah Anwar selepas Subuh. Saya pergi,” katanya tetapi enggan menceritakan dengan lanjut mengenai pertemuan itu.

Yang jelas, kata Haniff, Anwar tahu apa yang beliau tahu.

“Bagaimanapun dia (Anwar) tidak tanya bagaimana saya tahu dan laporkan perkara itu. Dia hanya nak tahu adakah pegawai saya akan peras ugut dia. Saya kata kita bukan berada dalam ‘blackmail business’ (kegiatan peras ugut).

“Saya ada memberitahu Anwar supaya berhenti daripada kegiatan itu. Anwar (ketika itu) tidak memberikan apa-apa penafian,” katanya.

Ditanya adakah satu kebiasaan polis mengawasi menteri atau orang kenamaan, Haniff menegaskan, perkara itu tidak berlaku kerana polis tidak mempunyai tenaga untuk mengawasi mereka.

“Kita mana ada tugas macam itu. Tapi kadang kala ketika bertugas menjaga keselamatan negara atau menyiasat kes jenayah, kita mendapat maklumat sampingan atau bertembung dengan sesuatu yang menimbulkan syak wasangka.

“Jika bertembung dengan keadaan itu, kita akan siasat lebih mendalam,” katanya.

Haniff turut mengesahkan, dua pegawai polis dari Bukit Aman menemuinya jam 3 petang ini untuk merakamkan kenyataan beliau berikutan Perdana Menteri menyebut namanya mengenai perkara itu semalam.

“Hanya pada hari ini saya memberi kenyataan kepada polis. Sebabnya kerana Perdana Menteri sebut nama saya sebagai orang yang memberitahu beliau. Polis kena ambil kenyataan saya,” katanya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa polis tidak bersikap adil dalam siasatan terhadap Anwar, beliau berpendapat polis mempunyai banyak maklumat sejak dahulu lagi.

Menurutnya, polis negara ini adalah pasukan yang mementingkan profesionalisme dan dalam kes Anwar, mereka perlu menyiasat.

“Mereka tidak terus membuat penghakiman. Mereka menyiasat dan kemudian hantar kepada Peguam Negara. Lazimnya, beliau (peguam negara) akan meneliti maklumat itu dan memastikan ada bukti pertuduhan yang kuat.

“Pada masa saya, peguam negara ialah Tan Sri Abu Talib Othman. Tiada perkara yang tidak kukuh berkisar di sekeliling. Kita juga melihat kepada kepentingan awam.

“Kita ada membuat perbincangan. Kalau boleh mungkin meneruskan siasatan. Ia bukan saja membabitkan ahli politik tetapi pihak lain yang membabitkan kepentingan negara,” katanya.

Source: Berita Harian, 24 September 1998.Klik di sini 

 

sumber : AIDC

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s