Syabas KP JAKIM pertahan Ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah !

Wahabi: Jakim pertahan Zamihan, tak kisah ‘protes’ tokoh tertentu
Oleh G. Manimaran June 29, 2010
KUALA LUMPUR, 29 Jun — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakan agensi agama kebangsaan itu termasuk pegawai kanannya dari Institut Latihan Islam Malaysia dalam isu kontroversi berkaitan amalan wahabi dan kemunculan kumpulan ekstremis Jemaah Islamiah (JI).
Ketika ditemui The Malaysian Insider, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan, agensi itu hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta kerajaan demi memastikan ajaran Islam tidak terancam manakala kepentingan setiap kaum dan keharmonian negara dipelihara.

“Jakim hendak memastikan negara kita harmoni, melakukan apa sahaja yang boleh membawa ketidakharmonian, kita ambil langkah supaya jangan sampai ada yang menyemarakkan ajaran sesat dan melampau,” kata beliau.

Wan Mohamad juga berkata, meskipun tindakan pihaknya kadangkala dilihat tidak popular tetapi tidak akan tunduk sehingga ada “pihak mengambil kesempatan mahu menghidupkan aktiviti pelampau.”

“Kami tidak akan membiarkan walaupun tindakan kami (dilihat) tidak popular, walaupun orang tidak suka, tugas kami ialah menjaga keharmonian.

“Walaupun satu atau 100 orang tokoh tidak suka dengan tindakan kami, pada Jakim itu tidak penting.

“… yang penting ialah negara kita ini aman, bila negara aman kita boleh amalkan agama kita dengan baik, beramal dengan baik tidak kira Islam atau bukan Islam,” kata beliau mengulas perkembangan isu semasa berkaitan amalan wahabi dan kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa isu semasa ini timbul kerana masalah peribadi antara Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Wan Mohamad berkata, “itu tanggapan pihak-pihak tertentu.”

“Dia (Zamihan) seorang pegawai kerajaan, pihak yang mengundang beliau (untuk memberi taklimat) adalah agensi keselamatan… itu amalan biasa. Kita perlu bekerjasama dengan agensi-agensi lain.

“Dia pegawai kanan, dia ada pengalaman dalam program pemulihan tahanan (khususnya tahanan ISA),” kata Wan Mohamad.

Oleh itu jelas beliau, sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan Zamihan, Jakim merasakan perbezaan itu boleh dibincang secara profesional dan ilmiah.

“Negara kita membolehkan setiap orang bebas berfikir, bebas memberi pandangan… kita tidak boleh kata jangan tidak bersetuju, terima pandangan,” kata beliau sambil menambah, Jakim sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak.

Ketika ditanya sama ada empat tokoh agama dan politik berkenaan ada kaitan dengan kumpulan JI sebagaimana didakwa ada dinamakan pada taklimat Isnin lalu, Wan Mohamad berkata, Jakim tidak pernah menuduh mereka.

“Bukan kami untuk menentukan tetapi agensi keselamatan yang menentukan,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui jika benar mereka terlibat dalam kaitan dengan kumpulan pengganas atau pelampau sudah tentu telah lama ditahan oleh pihak berkuasa.

“… dan (sudah tentu) mereka tidak boleh berada dalam kerajaan negeri, tidak boleh menjadi pemimpin di Parlimen…,” jelas beliau.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu, Zamihan berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan Asri sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman wahabi dan kumpulan pengganas JI sebagai tidak profesional.

Malah Zamihan memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.

Zamihan menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama iaitu Asri, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat Khamis lalu Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Tambahan : isu ini perlu diteliti dengan baik. Jika ada kalangan Timbalan Menteri atau Menteri turut terpengaruh tanpa disedari maka usaha perlu dibuat oleh pihak berkuasa.

Kuasa politik tidak boleh menjadi alasan tiada tindakan boleh diambil. Bukan bermaksud perlu menangkap mereka tetapi untuk memberi penerangan yang jelas dari skop agama untuk membetulkan akidah dan pemahaman mereka tentang perkara ini.

apabila isu IPT keluar dada akhbar bukan satu strategi nak jatuhkan maruah sesiapa. Ia isu yang tidak boleh disembunyikan.

harap menteri dan timbalan menteri kita atau yang ghairah nak tonjol diri utk naik jadi menteri agar fikir sepuluh kali dalam menangani isu ini.

beri kerjasama atau anda akan jadi punca fahaman pencetus kegiatan radikal ini meluas di negara kita.

Penjawat awam di JAKIM menjalankan kerja mereka dan malang jika tindakan tersebut dicop dengan persepsi yang tidak munasabah oleh seorang Menteri atau Timbalan Menteri.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s